Wednesday, December 23, 2015

JASAMU DIKENANG - ENCIK MUSTAFA KAMAL, PENOLONG KANAN HEM MENABUR BAKTI DI SEKOLAH BAHARU

*Artikel ini telah dikemas kini pada 11 Januari 2016

Salam sehati sejiwa, warga Johannian.

Selepas hampir 5 tahun berkhidmat sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SMK St. John terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Encik Mustafa Kamal bin Musa.



Cikgu Mustafa telah memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik pada tahun 1993 di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras, Kuala Lumpur.

Pada 7hb Mac 2011, Cikgu Mustafa telah melangkah masuk ke St. John sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang baharu, menggantikan Puan Hajah Najibah yang berpindah ke Tingkatan Enam. 


Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di SJI, Cikgu Mustafa telah memperkenalkan dua elemen baharu. Sumbangan pertama beliau adalah memperkenalkan anugerah-anugerah hal ehwal murid dalam majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Ko-Kurikulum untuk menunjukkan apresiasi pihak sekolah kepada para pelajar yang mempamerkan sahsiah yang cemerlang sepanjang tahun. Ini adalah satu perkara yang amat sinonim dengan nilai-nilai Johannian dan memberi nafas baharu dalam upacara Hari Anugerah di SJI.


Sumbangan kedua beliau adalah memperkenalkan Hari Graduasi untuk pelajar Tingkatan Lima. Walaupun idea ini tidak lagi diteruskan, ia adalah lagi satu usaha murni untuk memberi kenangan indah kepada pelajar-pelajar SMK St. John sebelum meninggalkan alam persekolahan.


Selain itu, Cikgu Mustafa juga telah secara proaktif mewujudkan dua infrastruktur baharu di SJI. Beliau telah merealisasikan idea bilik kesihatan serta bilik pengurusan sahsiah untuk melancarkan aspek hal ehwal pelajar-pelajar SJI. 

Cabaran terbesar Cikgu Mustafa sepanjang bertugas di SJI berlaku pada tahun 2014, apabila beliau terpaksa memangku tugas Pengetua dan Penolong Kanan Tadbir & Kurikulum tatkala En. Lim Hean Hwa sakit dan Pn. Azizah Yahaya dilantik sebagai Pengetua di SMK Manjalara. Selama hampir tiga bulan Cikgu Mustafa terpaksa menggalas tiga portfolio tertinggi di SJI, dan beliau berjaya melaksanakan tugas-tugas tersebut.


Sekarang tiba masanya untuk warga SJI mengucapkan selamat tinggal kepada Cikgu Mustafa. Walaupun sedih, kami turut gembira kerana Cikgu Mustafa telah dinaikkan pangkat menjadi Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum di SMK Taman Desa. Kami berharap agar Cikgu Mustafa akan membawa nilai-nilai Johannian ke sekolah baharu dan meneruskan perkhidmatan cemerlang beliau.


Selepas ini, kita tidak akan lagi melihat Cikgu Mustafa yang tidak pernah lupa mengenakan baju melayu lengkap bersampin dan bersongkok setiap Jumaat. Kita juga akan merindui karekter 'no-nonsense' Cikgu Mustafa yang boleh dilihat sejak hari pertama beliau bertugas di SJI.


Dedikasi Cikgu Mustafa kelihatan sehingga hari terakhir beliau di SJI. Pada minggu sebelum Krismas, beliau telah datang ke sekolah untuk menyediakan tong kitar semula untuk kegunaan warga sekolah. Beliau bersama isteri telah mengecat label tong kitar semula dan memastikan tong-tong boleh diguna pakai. Jika Cikgu Mustafa masih berada di SJI ketika sekolah buka, sudah pasti program kitar semula akan menjadi satu lagi sumbangan beliau kepada sekolah.

Secara peribadi, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Cikgu Mustafa atas keikhlasan beliau untuk membantu sekolah serta bantuan beliau sepanjang saya berkerja bersama pihak sekolah.



Terima kasih, Cikgu Mus, dan selamat bertugas di sekolah baharu! 



Berikut adalah sedikit bingkisan sepanjang tempoh Cikgu Mustafa berkhidmat di SJI.

*Images courtesy of Pn. Jessica and Garudamas




   Larian Serentak 1Malaysia 2011


Peraga pakaian Hari Guru 2012 

  Wajah serius menjalankan tugas sewaktu Karnival Ulangtahun ke-110 SJI

 Confirm event ni hari Jumaat - sebab Cikgu Mus berbaju Melayu lengkap.

Tahukah anda Cikgu Mus adalah seorang pemain bola sepak?
Diambil sewaktu pertandingan bola sepak PSKPP Kuala Lumpur 2015

Cikgu Mus kini menyertai Puan Azizah, Encik Lim Hean Hwa, dan Encik Goh Chee Chiang sebagai mantan pentadbir SJI.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...